Intipati Belanjawan 2009 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri semalam yang melibatkan sektor pembangunan pengangkutan dan logistik adalah sebagai berikut:
- Jumlah bas RapidPenang akan ditambah dengan 200 bas lagi dan dengan perkhidmatan bas tersebut dijangka dapat diperluaskan lagi dengan 14 jaringan laluan baru.
- Untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, sebanyak RM35 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh 2009 hingga 2014.
- Untuk memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan rel bandar di Lembah Klang, satu laluan LRT baru sepanjang 42km akan dibina dari Kota Damansara ke Cheras.
- Perkhidmatan rel komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) akan dipertingkatkan.
- Kerajaan juga sedang membina terminal pengangkutan bersepadu di Bandar Tasik Selatan bertujuan menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada kawasan selatan Semenanjung.
- Bagi menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada kawasan utara Semenanjung, satu terminal pengangkutan bersepadu yang baru akan dibina.
- Menyediakan kemudahan pinjaman mudah melalui Dana Pengankutan Awam RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd untuk membiayai perolehan aset bas dan rel.
- Mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh dua tahun bermula 15 September 2008.
- Pengusaha semua bas diberi pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara.
- Selain itu cukai jalan dikurangkan kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa dan limosin.
- Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem pengangkutan awam.
Sementara itu Sabah diperuntukkan RM3.0 bilion untuk pembangunan infrastruktur berserta dengan pelbagai tabung lain untuk Sabah untuk mencerminkan kepekaan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan negeri ini dan rakyat, demikian menurut Ketua Menteri.
Beliau berkata RM3.0 bilion itu adalah untuk memajukan infrastruktur terutama jalan luar bandar seperti Jalan Sandakan-Telupid dan Jalan Ranau-Tambunan dan juga Jalan Semporna-Bum Bum.
Apa yang kita lihat daripada rumusan diatas adalah seperti berikut:
- Jelas senarai yang diberikan diatas sama sekali tidak menyentuh mengenai keperluan untuk memperbaiki atau menaik taraf sistem pengangkutan awam di negeri Sabah ini.
- Mengapakah cadangan memperbaiki dan menaik taraf itu hanya tersenarai untuk di Semenanjung sahaja dan tidak untuk Sabah, menandakan tidak ada cadangan sedemikian rupa yang diperolehi daripada kerajaan Negeri. Apakah sebenarnya kekurangan atau kepincangan yang ada dalam sistem pentadbiran di Sabah yang kita tidak dapat menyediakan pelan atau perancangan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam di Sabah. Ada kah kepincangan dalam polisi mengenai pengangkutan awamnya ataupun ketiadaan polisi mengenai pembangunan sistem pengangkutan awam.
- RM3 bilion yang disediakan untuk Sabah antara lain untuk membaiki jalan jalan raya seperti yang disebutkan diatas, memang dialu alukan oleh kerana kita masih kekurangan kemudahan asas untuk pengangkutan ia itu jalan raya itu sendiri. Malahan peruntukan ini sememangnya tidak mencukupi jika kita ambil kira yang sebenarnya kesemua jalan jalan raya utama di negeri ini perlu di naik taraf.
- Kalau di Semenanjung sudah ada lebuh raya mengapa Sabah tidak dapat mengujudkannya? Di sinilah sebenarnya timbul jurang perbezaan yang amat ketara antara kemudahan yang ada di negeri ini dengan yang terdapat di Semenanjung.
Sabah masih tergapai dengan usaha mengujudkan infra fisikal asas, bilamana di tempat lain sudah bercerita mengenai sistem dan jaringan pengangkutan yang lebih canggih, memperbaiki sistem LRT itu sendiri dan kini menambah jaringan LRT.
Keretapi Negeri Sabah (KNS) sedang dalam proses menaik taraf laluan keretapi dan gerabaknya, dan sejauhmana ianya akan lebih membawa manfaat kepada pengguna keretapi kita akan lihat nanti. Matlamat KNS perlu fokus kepada khidmat komersial. Adakah KNS mampu menarik pengguna jalan raya untuk menggunakan perkhidmatan keretapi itu kelak? Atau pun perlukah kita merayu kepada Perdana Menteri untuk beliau menaiki kenderaan awam kita untuk ianya mendapat tempat dalam belanjawan tahunan?
Hj Ramli Amir
Pengerusi
The Chartered Institute of Logistics & Transport Malaysia,
Sabah
No comments:
Post a Comment